Tuesday 11 October 2011

Logo Alumni SAMUSKD




Logo Alumni SAMUSKD
Logo merupakan tautan simbol-simbol, dimana simbol tersebut memiliki erti-erti yang tersembunyi. Logo Alumni SAMUSKD melambangkan objektif dan motto pertubuhan itu sendiri khasnya. Ia juga adalah kesinambungan objektif-objektif SAMUSKD amnya.

Logo ini terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian-bahagian ini mempunyai konsep-konsepnya yang tersendiri.


BAHAGIAN PERTAMA

Obor berwarna biru dan hijau yang berbentuk seakan-akan dua huruf “S” dan seakan-akan obor yang menyala:

Obor melambangkan semangat juang yang menyala untuk menimba ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang yang diceburi. Ia melambangkan semangat perjuangan untuk mewujudkan cita-cita. 

Sebagaimana kita ketahui, obor yang selalu menyala berkobar-kobar, menunjukkan bahawa semangat Ahli Alumni SAMUSKD dalam mewujud serta merealisasikan cita-citanya selalu berkobar dan tidak mudah musnah; 

Dua huruf “S” pula melambangkan nama yang cukup signifikan kepada SAMUSKD sendiri iaitu “As-Saadah” atau “Kebahagiaan”; 

Warna biru melambangkan kedamaian, keteguhan hati, kewibawaan, kerukunan dan semangat padu warga Alumni SAMUSKD; dan

Warna hijau melambangkan tunas muda/remaja/belia yang masih boleh dibentuk; laluan hidup yang jelas untuk masa depan; serta melambangkan persekitaran yang sihat.


BAHAGIAN KEDUA

Bulan sabit berwarna kuning dan putih :

Bulan sabit melambangkan kesucian Agama Islam sebagai agama rasmi Negara Malaysia;

Warna kuning melambangkan warna diraja yang menjadi tonggak kedaulatan Negara Malaysia. Selain itu, ia juga melambangkan dinamika dan keikhlasan warga Alumni SAMUSKD dalam menyebar dan menimba ilmu; dan

Warna putih melambangkan keikhlasan serta kesucian. Ia memberi erti kebersihan jiwa dan cita-cita warga Alumni SAMUSKD untuk mencapai kehidupan yang mendapat keredhaan Illahi.


BAHAGIAN KETIGA

Bulatan di tengah-tengah lingkaran menggambarkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat yang disertai dan didepani oleh warga Alumni SAMUSKD;

Lingkaran sebelah dalam melambangkan dunia sarwajagat, sedangkan lingkaran luar melambangkan adanya ikatan kebersamaan dan kebulatan tekad. 

Maksud secara umum daripada lingkaran dalam dan lingkaran luar, menunjukkan adanya ikatan persaudaraan, kekeluargaan, kebersamaan dan kebulatan tekad untuk menggapai cita-cita dalam menongkah arus modenisasi;

Simbol dua tapak tangan yang menyokong menggambarkan bahawa sukan dan aktiviti ko-kurikulum dapat memupuk masyarakat cergas, sihat dan berdisiplin; dan

Warna keemas-emasan melambangkan kepada sesuatu yang sangat berharga. Warna keemas-emasan ini yang mewarnai simbol berbentuk dua belah tapak tangan yang menyokong simbol dinamik di tengah-tengahnya. 

Ia melambangkan, Ahli Jawatankuasa/ahlinya akan sentiasa menghargai setiap apa juga objektif dan motto Alumni SAMUSKD.

No comments:

Post a Comment